Font: IncreaseFont: NormalFont: Decrease
The Official Website of
DEPARTMENT OF VETERINARY
SERVICES SARAWAK


Satu lagi korban rabies di Sarawak
Posted on : 09 Sep 2020  Source of News: Utusan Borneo: Sarawak
 

Sumber: Utusan Borneo, Sarawak


KUCHING: Rabies meragut satu lagi nyawa pada petang Selasa, menjadikan 24 kematian daripada 25 kes di seluruh Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa terbaharu ialah seorang lelaki berumur 51 tahun dari Jalan Penrissen di sini.

"Beliau disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 4 September 2020. Beliau dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 26 Ogos 2020 kerana mengalami sakit belakang menyebabkan kesukaran untuk bergerak selama tiga hari sebelum dimasukkan ke wad," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya lagi, mangsa muntah dan diserang sawan sebelum dimasukkan ke hospital. 

"Siasatan awal belum dapat mengesahkan sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku padanya. Namun, beliau ada memelihara seekor kucing dan seekor anjing. Anjing peliharaannya ini belum mendapat vaksin anti rabies tetapi juga tidak dilepaskan dari kawasan rumah. Sehingga hari ini, status kedua-dua haiwan ini adalah baik dan tiada perubahan tingkah laku," jelasnya.

Dengan perkembangan ini, jumlah kes bagi 2020 ialah tiga dan ketiga-tiga kes telah meninggal dunia. 

Rabies diisytiharkan sebagai wabak di Sarawak pada 1 Julai 2017.